July 1, 2022

Malaysia news kini

Malaysia news kini

Tambang Bas Ekspres Sabah Dinaikkan 14 Sen Sempena Hari Raya | Sabah News

Dato’ Chin Kim Hiung…

KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah menaikkan kadar tambang khas bagi bas ekspres dengan kadar sebanyak 14.3 sen bagi setiap kilometer sepanjang tempoh dari 29 April hingga 8 Mei.

Pengerusinya, Dato’ Chin Kim Hiung berkata, langkah itu selepas mengambil maklum permohonan daripada Persatuan Pengusaha dan Pemandu Bas Ekspress Sabah menerusi surat pada Khamis.

Surat tersbut menyuarakan keperluan bagi mengenakan surcaj tambang sebanyak 30 peratus kepada penumpang sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Jadual penuh kadar tambang sempena Aidilfitri…

“Perkara ini juga selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan kenaikan kadar tambang 10 peratus daripada kadar tambang asal perkhidmatan bas ekspres berbanding 13 sen bagi setiap kilometer sebelumnya.

“Pada masa yang sama, LPKP Sabah juga mengambil maklum akan keperluan bas tambahan bagi menampung keperluan pengguna di sepanjang musim perayaan Aidilfitri yang dijangka akan meningkat disebabkan oleh kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Mesyuarat Lembaga LPKP Sabah juga bersetuju untuk membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2022 bagi mana-mana syarikat pengendali bas ekspres.

Katanya tarikh permohonan LPS akan dibuka bermula 11 hingga 22 April dan borang boleh didapati di Ibu Pejabat LPKP Sabah, Kota Kinabau, LPKP Sabah Cawangan Tawau dan LPKP Sabah Cawangan Sandakan manakala tempoh sah laku LPS yang telah diluluskan adalah dari 29 April hingga 8 Mei.

“Saya percaya keputusan ini akan mendapat pelbagai maklum balas dari pihak yang terkesan.

“Namun demikian saya percaya keputusan ini adalah keputusan menang-menang bagi memastikan kebajikan semua pihak terjaga selaras dengan konsep Keluarga Malaysia.

“Saya juga berharap agar semua pihak yang terlibat akan terus menjaga dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan agar kita semua dapat membendung penularan COVID-19,” tambahnya.