May 27, 2022

Malaysia news kini

Malaysia news kini

Penduduk Dunia Bakal Kebuluran Harga Barang Melambung

LONDON, 18 Mac 2022 – Dunia bakal berdepan dengan kebuluran dan kenaikan harga barang yang melampau sekiranya para petani di kawasan Eropah Timur gagal mendapatkan bahan api untuk musim bertani mereka dalam masa terdekat ini ekoran peperangan yang melanda di sana.

The Times melaporkan bahawa mendapatkan diesel untuk sektor pertanian di wilayah itu kini menjadi satu keutamaan berbanding penggunaan lain dan negara-negara lain.

“Para petani di Ukraine, pengeluar utama bijiran di Eropah, telah kehabisan bahan api. Rantaian makanan terganggu dua minggu selepas Rusia melancarkan serangan terhadap Ukraine dan kekurangan bahan api yang kritikal untuk traktor dan trak mendorong sektor pertanian Ukraine ke arah keruntuhan.”

Seperti yang sedia maklum, Ukraine adalah pengeluar utama dalam sektor pertanian. Antara 2018 dan 2020, negara itu menghasilkan 49.6% minyak bunga matahari, 10% gandum, 12.6% barli dan 15.3% jagung. Ukraine juga merupakan pengeluar utama telur, kentang, rai, bijirin lain, dan juga keju.

Tambah portal itu, jika Ukraine gagal mendapatkan diesel secepat mungkin, Eropah bakal berdepan dengan kenaikan harga barang yang sangat melampau untuk komoditi-komoditi pertanian selain berdepan dengan kekurangan makanan yang mencabar.

“Harga makanan di seluruh dunia sudah berada pada paras tertinggi, dan gandum khususnya telah memecahkan rekod paras harga. Gabungan pengeluaran antara Rusia dengan Ukraine menghasilkan kira-kira 32% gandum global, bersama-sama membentuk 12% daripada semua kalori global yang didagangkan.”

“PBB menganggarkan kemungkinan berlakunya kenaikan sebanyak 20% dalam harga makanan disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan susulan peperangan yang berlaku.”

“Jika para petani terlepas musim penanaman ini, harga makanan yang sudah melambung tinggi akan meningkat secara global lantas mencetuskan kebuluran populasi di seluruh dunia.”

Terdahulu, Timbalan Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Lee Yoon Yeau memberi amaran pengeluaran telur akan terus terjejas sehingga tiga juta biji sehari, termasuklah pada Ramadan depan sekiranya Kerajaan tidak melaksanakan subsidi iaitu menaikkan harga telur kepada 40 sehingga 42 sen sebiji.

Dakwanya, pengurangan sehingga 10 peratus itu berpunca daripada peningkatan kos termasuk pembelian dedak import yang tidak seimbang dengan harga pasaran sebiji telur di bawah kawalan Skim Harga Maksimum Keluaraga Malaysia (SHMKM).