May 27, 2022

Malaysia news kini

Malaysia news kini

Kes Seorang remaja didakwa mati selepas divaksin dirujuk panel bebas, kata KJ

PETALING JAYA: Kes kematian remaja lelaki, Revnesh Kumar dan beberapa kes kesan advers susulan imunisasi (AEFI) yang serius akan dirujuk kepada panel bebas melibatkan pakar bukan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi Twitter berkata, panel bebas tersebut dipertanggungjawab untuk membuat siasatan dan menyemak laporan yang disediakan KKM.

“Kes kematian Revnesh Kumar dan juga kes-kes AEFI serius yang lain akan dirujuk kepada sebuah panel bebas yang terdiri dari pakar luar (bukan pakar @KKMPutrajaya) untuk siasat dan semak laporan yang disediakan KKM,” katanya di Twitter.

Revnesh didakwa meninggal dunia selepas divaksin pada 16 Jan lalu.

Khairy membalas ciapan Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago yang menggesa supaya satu panel siasatan bebas diwujudkan bagi meneliti hasil bedah siasat ke atas Revnesh jika benar tiada kematian dikaitkan dengan vaksin.

“KKM harus berusaha lebih keras untuk mendapatkan pandangan bebas mengenai laporan bedah siasat untuk meredakan ketakutan dalam kalangan ibu bapa,” kata Charles di Twitter hari ini.

Pada 4 Mac lalu, Khairy dilaporkan bertemu ibu bapa remaja lelaki itu untuk memaklumkan hasil bedah siasat kematiannya.

Sebelum ini, media melaporkan ibu bapa remaja itu pada satu sidang media, menggesa supaya pihak berkaitan memberi penjelasan berhubung kematian mangsa yang berlaku beberapa minggu selepas mengambil vaksin pada Januari lalu.