May 27, 2022

Malaysia news kini

Malaysia news kini

Polis Kelantan Perketat Kawalan Sempadan Malaysia-Thailand Menjelang 1 April | Sabah News





PASIR MAS, KELANTAN – Polis Kelantan mengerahkan lebih 500 anggotanya untuk memperketatkan kawalan sempadan Malaysia-Thailand di negeri itu menjelang pembukaan semula sempadan negara pada 1 April depan.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata anggota Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerakan Am turut ditugaskan termasuk melakukan rondaan di 92 pangkalan haram yang terdapat di sekitar kawasan sempadan negara.

“Tugasan rondaan memberi fokus kepada pencegahan penularan COVID-19 dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)…

“Kami menjangkakan berlakunya pertambahan pergerakan keluar dan masuk sempadan…Polis Kelantan bersiap siaga dengan segala kemungkinan termasuk mengekang aktiviti penyeludupan melalui darat atau air,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir bagi Program
‘Tangan Bersalaman’ di Sekolah Kebangsaan Gual To’ Deh dekat Rantau Panjang di sini, semalam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa sempadan negara akan dibuka semula pada 1 April ini.

Beliau berkata langkah itu selari dengan perancangan memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik yang akan merancakkan semula ekonomi negara secara keseluruhan khususnya industri pelancongan setelah terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

– BERNAMA