May 27, 2022

Malaysia news kini

Malaysia news kini

Pupuk Semangat Kejiranan Melalui Aktiviti Komuniti – Shahelmey | Sabah News

Shahelmey ketika melawat salah satu gerai jualan di Jom Karnival Tamu KRT Taman Mat Salleh di Penampang…

PENAMPANG, SABAH – Pengukuhan semangat kejiranan haruslah dipupuk dalam memastikan semangat perpaduan di negeri ini terus dipelihara.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kemuafakatan ini akan dapat ditingkatkan dengan mengadakan aktiviti-aktiviti bersama dikalangan komuniti.

Menurutnya, antara aktiviti yang perlu difokuskan di dalam sesebuah komuniti ialah kesejahteraan, keselamatan, kesihatan, serta kebersihan dan keindahan kawasan masing-masing.

Shahelmey menyampaikan hadiah kepada salah satu pemenang aktiviti mewarna sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah; Jessica Basat (dua dari kiri), Timbalan Pengarah Penjara Pusat Penguasa Penjara merangkap Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Taman Mat Salleh; Alik bin Makim (tiga dari kanan) dan Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu; Rosliza Ishak (dua dari kanan)…

“Saya percaya sekiranya kita dapat melakukan aktiviti-aktiviti di dalam kawasan ataupun komuniti kita berfokuskan empat agenda tersebut maka kita akan dapat meningkatkan lagi keselesaan, kesejahteraan dan juga perpaduan dalam komuniti kita yang ada.

“Saya berharap ianya akan dapat meningkatkan dan mengukuhkan semangat perpaduan serta kejiranan dikalangan anggota masyarakat…

“Bersama-samalah kita menjaga kemuafakatan, semangat kejiranan, semangat kemasyarakatan dalam komuniti yang ada,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika merasmikan program Jom Karnival Tamu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Mat Salleh anjuran KRT Taman Mat Salleh di sini hari ini.

Shahelmey juga berpesan kepada orang ramai untuk terus mematuhi standard prosedur operasi (SOP) bagi mengelak penularan COVID-19 yang masih berada dalam masyarakat.

“Dalam kegembiraan kita mendengar pengumuman proses peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik, saya ingin menyeru dan mengingatkan kepada semua agar terus memastikan bahawa kita mematuhi SOP yang digariskan oleh pihak Kerajaan dari semasa ke semasa agar dapat mengurangkan penularan virus COVID-19 ini,” katanya.