May 27, 2022

Malaysia news kini

Malaysia news kini

KES 1MDB: NAMA NAJIB DAN ROSMAH TERATAS DALAM CARTA ALIRAN WANG SOGOKAN | Sabah News

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak…

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendahului senarai nama warganegara Malaysia yang menerima sogokan untuk mendapatkan kelulusan perjanjian mengumpul dana untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner memberitahu mahkamah Amerika Syarikat (AS) demikian dalam perbicaraan bekas rakan sekerjanya, Roger Ng.

Dalam satu laporan hari ini, portal berita The Edge memetik Leissner sebagai menjelaskan aliran carta kerja ahli perniagaan yang kini diburu, Low Taek Jho (Jho Low), mengenai skim untuk merasuah pegawai daripada Malaysia dan Abu Dhabi berkenaan urusan 1MDB.

Leissner memberi keterangan sebagai saksi utama kerajaan AS dalam perbicaraan Ng di AS berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan dakwaan melanggar undang-undang anti-rasuah.

Menurut sumber itu, Leissner menjawab soalan peguam bela Marc Agnifilo mengenai carta Low.

Leissner mengesahkan senarai nama itu mempunyai nama-nama warganegara Malaysia pada sebelah kiri, dan nama teratas adalah Najib yang juga menteri kewangan pada masa itu, dan isterinya Rosmah.

Datin Seri Rosmah Mansor…

“Dan saya fikir, jika saya ingat betul, anda berkata bahawa rakyat Malaysia disenaraikan di sebelah kiri dan penyertaan teratas ialah Najib Razak dan Rosmah, bukan?,” tanga Agnifilo.

 “Ya betul, Najib Razak merupakan Perdana Menteri ketika itu sekali dengan Rosmah,” jawab Leissner.

Leissner juga dilaporkan mengesahkan bahawa terdapat beberapa pegawai 1MDB disenaraikan selepas nama Najib sebagai orang yang akan menerima rasuah.

Tim Leissner bergerak dari mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York, pada 15 Februari..(Sumber Foto: Bloomberg)

Agnifilo juga bertanya sama ada terdapat pegawai kerajaan Malaysia yang lain dalam senarai sebagai orang yang akan menerima rasuah.

“Ya, tetapi ia bukan kementerian kewangan, ia adalah Perdana Menteri dan Rosmah,” kata Leissner.

Antara lain, The Edge juga melaporkan mengenai keterangan Leissner kepada pendakwa raya AS mengenai sebab nama beliau wujud dalam e-melnya kepada rakan sekerja tetapi menyembunyikan nama dan penglibatan Low dalam hal 1MDB.

 Jho Low…

Portal itu melaporkan bahawa Leissner menekankan kekurangan peranan rasmi Low dalam 1MDB milik kerajaan.

“Kerana kita bercakap tentang sebuah institusi kerajaan di sini di mana orang luar, bukan sebahagian daripada struktur korporat atau struktur pentadbiran, pada asasnya, memegang semua kuasa dan semua kawalan ada padanya… 

“Dan hubungan itu datang daripada hubungannya dengan perdana menteri (ketika itu),” Leissner dipetik sebagai memberi keterangan.

Najib kini dibicarakan di Malaysia kerana penyelewengan dana daripada 1MDB dan beberapa kes lain berkaitan yang dikaitkan dengan syarikat pelaburan tersebut.

Ahli Parlimen Pekan itu telah pun disabitkan dan dijatuhkan hukuman atas pelbagai pertuduhan jenayah dan rasuah berkaitan SRC International Sdn Bhd iaitu bekas unit 1MDB pada 2020.

Beliau kini dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu rayuan ke mahkamah tertinggi negara, dan telah giat berkempen untuk Barisan Nasional dalam pilihan raya negeri Johor, yang akan berakhir hari ini.