Hishammuddin berucap pada sidang media di Markas Angkatan Tugas Bersama, Tawau…(Sumber Foto: Ihsan Kementerian Pertahanan Malaysi)a

KOTA KINABALU, SABAH – Satu kem baharu bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kos bernilai RM 646 juta akan dimulakan pembinaannya pada tahun ini di Felda Sahabat Lahad Datu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan perkara tersebut pada lawatan kerja beliau ke Markas Angkatan Tugas Bersama di Tawau semalam.

Katanya kem itu merupakan antara beberapa initsiatif baharu bagi memperkasakan lagi usaha keselamatan dan pertahanan Sabah.

“Antara tujuan utama pembangunan kem baharu ini adalah untuk memindahkan 1 batalion infantri dan unit-unit 13 Briged…

“Ini sebahagian daripada usaha meningkatkan lagi tahap keupayaan dan kesiapsiagaan TDM dalam menangani ancaman semasa sekaligus mengukuhkan lagi tahap keselamatan di Pantai Timur Sabah,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Antara lain usaha, menurut beliau, adalah untuk merancakkan semula dan memperkasakan lagi inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) melibatkan kerjasama angkatan tentera Malaysia, Indonesia dan Filipina bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi.

“Saya telah suarakan hasrat ini kepada rakan sejawat saya di kedua-dua negara berkenaan dan mereka telah menyatakan persetujuan…

“Sehubungan itu, satu pertemuan peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan pada 27 Januari ini bagi membincangkan perancangan mengenainya.

“Hasrat meningkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu dan Sulawesi ini turut disuarakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam pertemuan kami semalam.

“InsyaAllah, saya akan bawa hasrat beliau semasa pertemuan bersama Menteri Pertahanan dua negara berkenaan 27 Januari ini,” jelasnya sambil menambah banyak lagi perancangan khusus untuk keselamatan Sabah yang akan diumumkan dari masa ke masa.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa operasi keselamatan melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sepanjang tahun 2021 berjalan lancar.

Katanya ESSCOM terus berupaya dalam menangani ancaman-ancaman termasuk kidnap for ransom (penculikan), rompakan laut, penyeludupan, kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) serta militan dan pengganas.

“Tidak sekadar itu, saya juga ingin laporkan kepada umum bahawa tiada rekod penculikan baharu direkodkan di kawasan ESSZone sepanjang tahun 2021…

“Berdasarkan beberapa siri kejayaan yang saya senaraikan ini, pihak ESSCOM maklumkan kepada saya bahawa secara relatifnya, ESSZone adalah selamat dan terkawal.

“Namun begitu, itu tidak bermakna ESSCOM akan mengendurkan operasinya. Sebaliknya, ESSCOM akan terus diperkukuhkan lagi dan perancangan mengenainya akan dimaklumkan kepada umum dari masa ke masa,” tambah Hishammuddin.



Source link

Leave a Reply

Your email address will not be published.